PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menafikan klip video terbitan beliau sempena Tahun Baru Cina bersifat rasis dan biadap kepada masyarakat Melayu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Teresa menafikan dakwaan beliau mengungkit insiden pencerobohan berdarah Lahad Datu, menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan merendahkan martabat kaum Melayu dalam klip video “Onederful Malaysia” itu.
Sebaliknya, tambah Teresa, dialog dalam video itu hanya merujuk kepada peristiwa di mana seorang pelancong Taiwan ditembak mati manakala isterinya diculik oleh lanun di perairan Sabah.
“Dialog pelakon yang memegang watak guru Feng Shui dalam klip video itu hanya sebut tentang kejadian menembak dan penculikan di Sabah tanpa menyentuh tentang peristiwa Lahad Datu, malah tiada apa-apa dialog yang mengejek atau merendahkan prestasi tentera kita yang mempertahankan negara dalam peristiwa Lahad Datu,” katanya.
Justeru beliau menolak tuduhan-tuduhan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Pemuda Umno Wilayah Persekutuan bersabit video 11 minit itu.
“Mereka sudah tidak mampu lagi menikmati atau memahami humour politik, sebaliknya cuba membangkitkan isu perkauman atas klip video satira politik (political satire) untuk menutup kegagalan mentadbir negara,” kata beliau.
Jelasnya lagi, tiada satu pun nama pemimpin negara yang disebut di dalam video yang tersebar luas di laman sosial kini
“Ini satu lagi kegilaan segelintir golongan pro-Umno yang rasis, iaitu apa saja kritikan terhadap kelemahan dan kesalahan kepimpinan Umno akan dituduh sebagai “menghina” Melayu, seolah-olah hanya Umno yang mewakili semua orang Melayu di negara ini,” tambahnya.
Tegasnya lagi, video klip tersebut hanyalah satu satira politik yang tidak perlu disiasat di bawah Akta Hasutan.
“Satira politik merupakan ‘humour’ yang mengajak rakyat, terutamanya rakyat yang berani berfikir serta sanggup menggunakan akal fikiran untuk berfikir, untuk memikirkan keadaan semasa dan masa depan negara kita.
“Sekiranya pihak polis dan pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan dan malah mengambil tindakan terhadap saya, saya ingin tanya kenapakah tiada siasatan dan tindakan diambil terhadap golongan yang membuat tuduhan palsu terhadap saya dalam isu klip video ini,” soal Teresa.
Tambah Teresa, pihak Polis Diraja Malaysia mengamalkan dwi-standard sekiranya menyiasat video terbitannya itu dan tidak menyiasat kenyataan pemimpin BN dan blogger-blogger Umno yang disifatkannya menyakiti hati pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini.
Ketua Pemudanya, Mohd Razlan Muhammad Rafii mendakwa video bertajuk Onederful Malaysia berdurasi 11.39 minit itu memperlekeh sistem pendidikan di negara ini serta mengutuk semangat 1Malaysia dan mempersenda isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Persekutuan, Datuk Seri Salleh Mat Rashid sebelum ini berkata, polis akan menyiasat klip video berbaur fitnah itu.