KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda mengamuk hendak memotong kemaluan anak saudara perempuannya gara-gara kanak-kanak itu ‘terkencing’ di atas tilam di dalam bilik tidurnya.
Kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Masjid Raja, di sini, Ahad lalu.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, suspek berusia 20-an dipercayai melepaskan geram terhadap anak saudaranya yang baru berusia 3 tahun selepas bengang ditegur ibunya sebelum itu.
“Sebelum kejadian, suspek ditegur dan diberi nasihat oleh ibunya, 63, berhubung beberapa perkara salah yang dilakukannya sebelum ini, namun teguran itu tidak menyenangkan hati suspek.
“Suspek mula memberontak dengan meludah berkali-kali ke arah ibunya sebelum bertindak mengugut akan membunuh wanita itu menggunakan kapak yang diambil di dapur rumah,” katanya.
Sumber berkata, untuk menakut-nakutkan ibunya lagi, suspek turut mengetuk-ngetuk kapak di tangannya beberapa kali di atas meja, kononnya sebagai isyarat berhubung tindakan yang akan dilakukan selepas itu.
“Semasa sedang mengamuk itulah, tiba-tiba anak saudaranya terjaga dari tidur dan mungkin ketakutan, kanak-kanak itu terkencing di atas tilam menyebabkan suspek semakin naik angin sebelum bertindak mengugut akan memotong kemaluan mangsa.
“Selain itu, suspek turut melepaskan geram terhadap kanak-kanak itu dengan mengamuk akan membakar pakaian milik mangsa serta dalam masa sama mengugut akan membakar kediaman tersebut,” katanya.
Bimbang keselamatan diri dan keluarga termasuk cucu perempuannya, ibu suspek membuat laporan polis sejurus kejadian itu untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.