PEMIMPIN negara bukan hanya dipertanggungjawabkan untuk menjaga perut, keselesaan, keselamatan rakyat mahupun mengejar kemajuan dunia semata-mata.
Begitu juga pemimpin pembangkang, bukan sekadar ditugaskan untuk membangkang semua perkara yang bersesuaian dengan namaya sebagai ‘pembangkang’, manakala ‘cendiakawan’ solo atau penceramah solo bukan juga bertindak untuk mengeluarkan pendapat ilmiah minda solo mereka sahaja.
Dalam hal ini, pemimpin negara, pembangkang, cendiakawan mesti berfikir dan sentiasa mengambil pendirian untuk menjaga akidah umat Islam di samping membenteng segala perkara yang boleh melemahkan pegangan umat Islam.
Ada pemimpin berkata, “Saya dulu bertahun-tahun bersekolah di sekolah missionari Kristian, bergaul, berkongsi raya, tidak pernah sekalipun terjejas iman.”
Adakah mereka memikirkan bahawa hal akidah bukan kewajipan mereka dan sebagai rakyat ianya perlu ditanggung sendiri?
Adakah mereka tidak memahami konsep maqasid syarak yang pertama iaitu menjaga deen Islam? Mereka yang saya maksudkan antaranya ialah DS Najib, DS Anwar Ibrahim, YB Khairy Jamaludin, Nurul Izzah dan lain-lain.
Keadaan menjadi lebih buruk dan rumit apabila terdapat para ‘cendiakawan @ ulama’ bersifat ‘ solo’ yang sepatutnya memimpin umat Islam dengan ilmu pula mengajar rakyat dengan memakai fikrah fahaman liberal yang sifatnya asing dan mengelirukan, terpisah daripada konteks gerakan pembangunan dan taghir (perubahan) masyarakat Islam.
‘Ulama’ ini membuat rakyat umum menjadi bertambah liberal dan sekali gus dalam masa yang sama dia menjadi popular, dipuji musuh dan mendapat liputan media liberal.
Kalau betul mereka itu cendiakawan atau ulama, mereka patut membuat pendirian untuk membenteng akidah umat Islam, Dr Asri mantan Mufti Perlis adalah antaranya!
Begitu juga dalam kes kalimah ALLAH, semua pemimpin dan umat Islam seharusnya menyedari dan memahami agenda Evangelis.
Justeru mereka tidak boleh berkompromi dan seharusnya bertindak tegas untuk mempertahankan maruah Islam di bumi ini demi menjaga akidah umat Islam kini dan masa hadapan.
Masing-masing bertanggungjawab mempertahankan akidah keluarga, saudara, jiran dan umat Islam.
Bahkan mereka juga bertanggungjawab untuk membentuk pendirian menjaga maslahat Islam yang tidak memberi keuntungan kepada musuh Islam.
Apabila Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar gagal menjaga kepentingan dan maruah Islam, persoalannya adakah pemimpin yang lain juga sebegitu?
Abdul Rahman Mat Dali
Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia