PEKAN - Penglibatan kanak-kanak dan golongan remaja dalam kegiatan meminta sedekah yang berleluasa di daerah ini amat membimbangkan orang awam.
Kedatangan mereka mencetuskan rasa kurang senang terhadap orang awam apabila mereka meraih simpati untuk memohon sumbangan tersebut sebagai kutipan amal bagi pusat tahfiz tertentu.
Kehadiran mereka sering kali dipersoalkan dari mana kewujudan kumpulan kanak-kanak dan remaja ini serta berkenaan status mereka sama ada kegiatan ini telus atau mereka diperalatkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Tinjauan yang dilakukan Sinar Harian di beberapa buah stesen minyak sekitar Bandar Pekan dan kawasan Peramu adalah untuk meneliti kumpulan ini melakukan tugas harian mereka.
Semasa pemerhatian, didapati sekumpulan remaja lelaki dan perempuan dalam lingkungan usia 12 hingga 17 tahun sedang berlegar-legar dengan jualan produk minyak angin, kalendar dan madu dalam misi meminta derma tersebut.
Seorang pelanggan sebuah stesen minyak di kawasan Peramu, yang hanya mahu dikenali Luqman, 30-an berkata, dia pernah didatangi oleh seorang remaja perempuan dalam lingkungan umur 15 tahun ketika sedang mengisi minyak.
Menurutnya, dia diberitahu oleh remaja berkenaan yang kedatangannya bersama rakan-rakan yang lain kerana diarahkan untuk meminta derma bagi sebuah sekolah tahfiz di Kedah.
“Kerap kali remaja yang datang meminta derma ini mendakwa mereka merupakan pelajar pusat tahfiz di negeri Kedah dan jualan kecil-kecilan dilakukan bagi menampung perbelanjaan tahfiz berkaitan.
“Saya merasa hairan kerana jika benar, adakah pelajar ini tidak mengikuti sesi pembelajaran ekoran kerap kali bertemu mereka pada hari persekolahan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya lagi, kegiatan itu sudah lama berlaku dan ia semakin berleluasa tanpa pemantauan yang sewajarnya.
“Lebih mengejutkan kerana mereka memberitahu kutipan derma yang dibuat adalah sebahagian daripada sukatan pembelajaran mereka. Masalah ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkenaan termasuk kerjasama di pihak kerajaan antara negeri bagi memastikan ia tidak merebak dan lebih buruk jika ia merupakan satu cara eksploitasi ke atas kanak-kanak dan remaja demi kepentingan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sumber Sinar Harian