Kuantan: Bukan saja penyokong skuad Tok Gajah, malah penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) diminta menjaga tingkah laku apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Sup er di Stadium Darul Makmur, Jumaat ini.
Naib Presiden Satu Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Tajuddin Abdullah berkata, pihaknya tidak mahu sejarah separuh aksi Piala FA musim lalu yang menyaksikan perlawanan itu dipindahkan ke Stadium Nasional, Bukit Jalil berulang.
Katanya, kejadian yang tidak diduga itu tidak sepatutnya berulang kerana pihaknya percaya bahawa penyokong kedua-dua pasukan akan menunjukkan sikap sopan dan berhemah apabila berada di stadium.
“Perasaan dengki hingga jadi kecoh tidak perlu dilakukan kerana tujuan utama mereka datang ke stadium adalah memberi sokongan. Ketepikan soal perasaan negatif dan sebaiknya tunjuk semangat kesukanan tinggi dengan nilai-nilai murni,” katanya di sini semalam.
Bagaimanapun, Tajuddin berkata, bagi memastikan keselamatan terjamin, pihaknya akan meningkatkan kawalan supaya tiada insiden tidak diingini berlaku.
“Kami jangkakan kira-kira 31,000 penyokong akan menyaksikan aksi Liga Super itu dan percaya dengan kehadiran anggota keselamatan, keadaan di dalam stadium tenang dan terkawal. Sebagai tuan rumah, kami bersedia dengan sebarang kemungkinan tetapi percaya penyokong sudah matang dan tidak mahu cetus kekecohan,” katanya. – Oleh Asrol Awang