SYARIKAT tempatan Heart Base Sdn Bhd (HSBS) menjangkakan produk unik tetikus komputer yang dilengkapi teknologi imbasan edarannya boleh menembusi 30 hingga 40 peratus daripada jumlah pengguna di Malaysia, dalam tempoh dua tahun lagi.
HBSB adalah satu daripada lima syarikat di seluruh dunia terpilih sebagai pengedar tetikus komputer canggih yang turut berfungsi sebagai pengimbas, dikenali sebagai Myscan.
Pengarah Urusan HBSB Nik Mohd Iskandar Nik Hassan berkata, keyakinan itu bersandarkan penerimaan baik produk Myscan di pasaran tempatan.
Produk unik itu dicipta syarikat Dacuda-AG berpusat di Zurich, Switzerland.
"HBSB akan mengedarkan produk ini di seluruh rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia.
"Dari segi jumlah pasaran, terdapat lebih 190 juta pengguna, bersamaan nilai pasaran RM75 bilion untuk produk ini di Asia Tenggara, termasuk 17 juta pengguna berpotensi di Malaysia, dengan nilai pasaran RM6.78 bilion," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Nik Mohd Iskandar, HBSB menjalankan kajian pasaran bagi Myscan selama empat bulan sebelum produk pertama diedarkan ke pasaran Malaysia pada Ogos tahun lalu.
Beliau berkata, berdasarkan kajian pasaran, penerimaan dan sambutan oleh pengguna adalah sangat baik bagi semua peringkat seperti pelajar, guru, pentadbir, profesional dan lain-lain.
Tetikus komputer dengan teknologi imbasan itu boleh mengecam teks utama dan menyokong lebih 198 bahasa.
"Teks dan jadual yang diimbas dengan serta-merta boleh disunting menggunakan perisian seperti Microsoft Words, Microsoft Excel dan juga aplikasi lain yang popular.
"Kemudian kandungannya juga boleh dikongsi melalui emel dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter," katanya.
Menurut beliau, selain boleh digunakan sebagai tetikus komputer biasa, mengimbas dan menyunting teks dan jadual, Myscan juga mempunyai ciri-ciri tambahan seperti aplikasi Google Translate untuk penterjemahan kepada 71 bahasa lain dan aplikasi carian Google menggunakan imej.
Nik Mohd Iskandar berkata, bagi pasaran Malaysia, HBSB akan melaksanakan rancangan pemasaran dengan dua pendekatan iaitu melantik pengedar untuk pemasaran melalui kedai perniagaan di seluruh negara dan melantik pengedar untuk pemasaran melalui perniagaan ke perniagaan.
HBSB juga melantik Myscan (M) Bhd sebagai pengedar tunggal produk itu di Malaysia.
Tetikus Myscan dijual pada harga RM399 seunit serta didatangkan dalam warna hitam dan putih, dengan jaminan setahun.